Analisis laporan TIMSS
2011 dan pencapaian Malaysia
January
29, 2013
Oleh Zul Fikri Zamir dan Anas
Alam Faizli
Seorang
ahli akademik dari Brazil telah berjaya membawa satu pembaharuan kepada konsep
pedagogi kritis. Paulo Freire gigih menyangkal konsep pendidikan ala-ala
“simpanan di bank” yang menurutnya pelajar dilihat seperti akaun kosong yang
akan di isi oleh cikgu.
Pelajar
cuba dipenuhi dengan maklumat. Ini bukan pendidikan tetapi storan maklumat!
Freire mencadangkan hubungan dua hala yang rapat di antara guru dan pelajar
dimana kedua-duanya saling lengkap melengkapi. Beliau menekankan bahawa guru
seharusnya mengajar dan juga belajar dari pelajar; manakala pelajar pula
belajar dan juga mengajar kembali guru mereka.
Sebagai
sebuah negara membangun dengan iklim budaya dan bangsa yang pelbagai, Malaysia
kini berada di persimpangan di antara standard pendidikan nasional dan standard
pendidikan antarabangsa.
Pertama,
perlukah negara unik seperti Malaysia melihat kepada model luar seperti Finland
ataupun Korea Selatan dan kedua, adakah model-model tersebut sesuai untuk
dilaksanakan di Malaysia? Malah model Finland dan Korea Selatan adalah jauh
berbeza dari satu ekstrim pendidikan bebas dan terbuka kepada pendidikan
tertutup dan berstruktur. Jadi bagaimanakah ia boleh disesuaikan untuk konteks
Malaysia?
Dalam hal
ini kami sependapat dengan pandangan Malek Bennabi (1905-1973) sebagaimana
dinukilkan di dalam makalahnya ‘Asas Pendidikan Sosial’ iaitu;
‘Sebenarnya
adalah satu kerugian sekiranya menolak untuk mendapat panduan daripada
pengalaman orang lain atau mendapat faedah daripada kejayaan mereka.
Bagaimanapun mana-mana peminjaman mestilah disesuaikan dengan dasar budaya dan
asas sosial negeri yang meminjam itu’. Lebih menarik beliau meneruskan; ‘Dengan
kata lain, kita sendiri mestilah mencipta dalam negara kita syarat dan keadaan
yang perlu untuk menggunakan mana-mana penyelesaian yang difikirkan untuk
masalah sosial kita’.
Malaysia
muncul corot di dalam tiga kajian yang dilakukan oleh indeks-indeks
antarabangsa. UN Education Index meletakkan Malaysia di kedudukan 98 daripada
181 negara. Manakala kajian “Programme for International Student Assessment”
(PISA) pula mengukur kadar literasi pelajar-pelajar berumur 15 tahun
terutamanya Matematik, Sains dan kadar kebolehan membaca. Di samping itu PISA
turut menguji kebolehan pelajar menyelesaikan masalah secara kritis berbanding
menghafal. Malaysia corot di tangga 55 daripada 74.
Belum sempat bernafas muncul pula
keputusan kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS) 2011 yang
telah menunjukkan penurunan prestasi Matematik dan Sains mendadak
sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999.
Laporan
TIMMS 2011 ini juga mendedahkan “trend” kejatuhan kedudukan Malaysia untuk
subjek Matematik iaitu 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara
subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011). Begitu
juga dengan “trend” kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519
(1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek
Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011); jatuh 66 mata
dengan penilaian markah di bawah 500 dikira sebagai prestasi corot.
Walaupun
begitu hairannya, Gred Purata Nasional (GPN) untuk peperiksaan PMR meningkat
ketara untuk 5 tahun yang lalu iaitu 2.83 pada 2008, 2.78 pada 2009, 2.74 pada
2010 dan terbaru 2.71 pada 2011. Lebih spesifik, bilangan pelajar yang mendapat
A di dalam Matematik meningkat dari 26.7 peratus pada 2010 kepada 28.9 peratus
pada 2011 manakala untuk subjek Sains pula meningkat dari 18.5 peratus dari
2010 kepada 21.7 peratus pada 2011. Untuk peperiksaan SPM pula, pencapaian 2011
dikatakan pencapaian terbaik dalam masa 5 tahun dengan peningkatan GPN
meningkat dari 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011.
Apakah
yang telah berlaku?
Analisis
Awal
Kami
melihat masalah teknikal seperti penguasaan gaya bahasa Inggeris dalam TIMSS,
penyelarasan perbezaan masa untuk menjawab peperiksaan dan penyusunan soalan
yang lebih rawak berbanding kertas peperiksaan Malaysia mempengaruhi pencapaian
negara di peringkat global. Trend yang semakin corot ini jelas menunjukkan
masalah yang lebih besar dari itu. Setelah melakukan penilaian dan perbandingan
ringkas sampel-sampel soalan kami simpulkan beberapa perkara yang mungkin boleh
menyebabkan perbezaan ini:
Pertama;
sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia berlandaskan sistem peperiksaan.
Pengajaran disediakan untuk peperiksaan terutamanya PMR dan UPSR. Maka dengan
mudahnya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang diberi fokus lebih dan
malangnya pemantauan keatas pelajar-pelajar corot secara sengaja atau tidak,
dijadikan prioriti kedua.
Kedua;
kaedah persampelan TIMSS dan PISA adalah secara rawak maka keputusannya akan
mewakili kedua-dua pelajar cemerlang dan juga pelajar corot. Malaysia mempunyai
jurang yang luas di antara pelajar paling cemerlang dan paling corot. Maka
secara relatifnya ini menyebabkan keputusan Malaysia dalam TIMSS dan PISA corot
berbanding keputusan hebat PMR dan UPSR.
Ketiga;
soalan-soalan PMR dan UPSR tidak dinafikan telah diterapkan elemen-elemen
penyelesaian masalah dengan kritis seperti KBKK, tetapi peratus soalan-soalan
sedemikian hanya sedikit. Hal ini membenarkan pelajar-pelajar menggarap markah
sepenuhnya melalui soalan-soalan awal yang hanya memerlukankan penghafalan fakta
dan sebagainya. Sub-soalan KBKK yang lebih mendalam di penghujung soalan utama
boleh diabaikan atau ditinggalkan tanpa menjejaskan markah keseluruhan pelajar
ataupun menggagalkan pelajar.
Keempat;
kebanyakan soalan PMR dan SPM kerap disusun dengan cara yang begitu
“predictable” melalui penghafalan topik dan subtopik. Tusyen berbayar juga
membantu murid menghafal ‘jawapan’ berdasarkan ‘ramalan soalan’. Murid yang
dapat mengahafal set jawapan paling banyak akan memperoleh keputusan lebih
cemerlang. Amalan pusat tusyen ini kemudian dibantu bengkel menjawab soalan
berbayar yang kemudian juga berfungsi untuk membantu murid menghafal set-set
jawapan yang telah ditentukan. Bezanya, pelajar kita tidak dilatih untuk
menjawab soalan TIMSS dan PISA di mana aras soalannya berbentuk analisis dan
sintesis, tetapi setakat PMR dan SPM yang arasnya hanyalah kefahaman dan
aplikasi.
Kelima;
standard soalan-soalan PMR dan SPM tidaklah begitu jauh ketinggalan berbanding
soalan-soalan PISA dan TIMSS. Justeru itu sepatutnya jika pelajar kita corot di
PISA dan TIMSS maka logiknya tidak akan mendapat keputusan cemerlang di
dalam PMR dan SPM. Jadi, adakah gred PMR dan SPM telah direndahkan untuk
menunjukkan keputusan yang cemerlang?
Secara
keseluruhannya, kami melihat pencapaian ini berkadar terus dengan usaha
berterusan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membantu
menaikkan prestasi murid-murid berkeperluan khas yang terdiri daripada murid
kelas corot, anak miskin, anak yatim, minoroti dan orang asli.
Malangnya
di dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025),
isu murid berkeperluan khas sebegini hanya disebut di dalam bab 3 iaitu
prestasi semasa, kualiti pendidikan dan ekuiti dalam pendidikan tetapi tidak
disentuh di dalam bab 8 iaitu pelaksanaan dan pelan tindakan. Kami percaya jika
fokus utama pencapaian nasional dengan meletakkan peningkatan prestasi murid
berkeperluan khas sebegini sebagai tanda aras, prestasi pencapaian nasional
akan meningkat dengan seiring.
Lebih
malang juga jika pendidikan terus berorientasikan peperiksaan, tidak dinamik
serta tidak berteraskan perkembangan ilmu untuk menghasilkan pemikiran kritis.
