PISA: Kedudukan Malaysia di belakang Vietnam dalam
pendidikan mengejutkan
Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di
Asia Tenggara termasuk di belakang Vietnam dalam keputusan Program Penilaian
Antarabangsa Pelajar (PISA) dan ia sangat mengejutkan, kata Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli (gambar).
Hanya Indonesia yang berada di
belakang Malaysia di kalangan negara Asia Tenggara yang turut serta dalam
penilaian itu sementara Singapura dan Thailand di depan Malaysia.
PISA adalah sebuah program
penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation
for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan
negara dari seluruh dunia.
Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar
dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.
PISA menjadi piawaian antarabangsa yang
digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di
dunia.
Berikut adalah kedudukan Malaysia
berbanding negara jiran dalam penilaian PISA 2012 yang baru diumumkan:

"Ini satu keputusan yang sangat mengejutkan
apabila terbukti mutu dan keberkesanan sistem persekolahan kita ternyata jauh
ditinggalkan oleh Vietnam, sedangkan Vietnam pernah dimusnahkan dalam
peperangan dan ekonominya jauh lebih mundur berbanding Malaysia," kata
Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bukan
sahaja Malaysia jauh ketinggalan dengan Singapura yang menduduki tangga kedua
pencapaian di seluruh dunia, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan mendadak
sekolah di Vietnam yang mengatasi prestasi sekolah di negara maju dan Eropah.
Pada 2012, Vietnam berjaya memasuki tangga
10 negara teratas dalam mata pelajaran sains dengan menduduki tangga ke-8
mengatasi Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah lain.
"Sudah tentu menjadi tanda tanya
kepada kita bagaimana Vietnam yang sumbernya cukup terhad, infrastruktur kurang
baik dan ekonominya lebih kecil daripada Malaysia berjaya melonjakkan mutu
pendidikan sekolahnya sedemikian rupa," katanya.
Penerangan rasmi yang diberikan di laman
Kementerian Pendidikan menggariskan faktor berikut yang menyebabkan keputusan
PISA yang corot:
1. Sikap murid – ramai murid yang turut
serta tidak bersungguh-sungguh kerana menganggap penilaian ini tidak penting.
Banyak soalan tidak dijawab.
2. Format soalan – soalan PISA lebih
berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi
dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam lebih ringkas dan berdasarkan
rajah dan jadual.
3. Keutamaan guru – Kebanyakan guru
mengutamakan menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan tidak mengambil
masa memahamkan murid dengan konsep. Banyak jalan pintas yang digunakan untuk
menghafal terutama melalui latih tubi.
Rafizi berkata, beliau menerima faktor
tersebut dan bersetuju dengan post-mortem Kementerian Pendidikan yang jelas
mengiyakan pandangan ramai pihak mengenai kelemahan sistem pendidikan sekarang.
Katanya, semua kelemahan itu tidak boleh
disalahkan kepada guru atau murid kerana mereka adalah sebahagian daripada
budaya pendidikan yang dibentuk melalui dasar mementingkan keputusan
peperiksaan semata-mata sehingga tidak memberi ruang kepada percambahan fikiran
berbeza dan sistem imbuhan/naik pangkat yang membuka ruang kepada budaya
membodek.
Beliau berkata, tindak balas Kementerian
Pendidikan yang memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pula jauh
tersasar matlamatnya dan berbeza daripada pelaksanaan di negara lain.
Akibatnya, guru pula dibebankan dengan
tugasan mengisi borang dan kerja birokrasi lain sehingga mengurangkan lagi masa
untuk menerangkan konsep dan pemahaman.
"Sebab itu, keputusan PISA yang
meletakkan Malaysia sebagai negara kedua tercorot di Asia Tenggara sewajarnya
mengejutkan dan meyakinkan kita bahawa sistem pendidikan sekolah sekarang tidak
berjaya mempersiapkan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan
serantau,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi menyeru supaya
Menteri Pendidikan menerima hakikat ini dan mengambil langkah berikut:
1.Menggantung pelaksanaan Penilaian
Berasaskan Sekolah (PBS) untuk ditambah baik dengan mengambil kira masalah yang
disebut oleh Kementerian Pendidikan mengenai kepincangan sistem pendidikan
sekolah.
2. Mengubah sukatan mata pelajaran dan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran di sekolah supaya ia menekankan
pemahaman konsep dan bukan mengingati fakta dan soalan latih tubi semata-mata.
Rafizi berkata, walaupun Barisan Nasional
menghabiskan ratusan juta ringgit membayar perunding asing untuk mendapatkan
idea menaik taraf sistem pendidikan, sehingga kini tidak ada sebarang langkah
berkesan yang dicadangkan untuk mengatasi masalah umum sistem pendidikan
negara. – 4 Disember, 2013.
No comments:
Post a Comment